1. Latar belakang
Dalam memilih pusat tahfiz yang terbaik, di antara aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah latar belakang pusat tahfiz itu sendiri. Sebaiknya carilah pusat tahfiz yang berpengalaman di mana telah banyak melahirkan huffaz yang berjaya. Tidak menjadi masalah sekiranya anda lebih berminat kepada sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baru, namun begitu selidiklah terlebih dahulu prestasi sekolah tersebut terutama sekali dari segi statistik bilangan huffaz yang berjaya dilahirkan saban tahun dan juga statistik pelajar yang keluar masuk samada dibuang mahupun berhenti. Ini adalah penting supaya anda tidak tersilap menghantar anak ke sekolah tahfiz yang berprestasi rendah atau bermasalah.
2. Guru
Pilihlah sekolah tahfiz yang mempunyai guru tahfiz yang mursyid, berakhlak mulia, mempunyai contoh ikutan yang baik serta berpengalaman. Sebuah sekolah yang mempunyai bilangan guru tetap dan berpengalaman menunjukkan kecemerlangan serta iltizam sekolah yang tinggi dalam misi dan visi mereka. Elakkan dari memilih sekolah tahfiz yang mempunyai guru tahfiz kurang pengalaman mengajar, guru sementara, guru kerap bertukar ganti, berkonflik dan sebagainya. Jangan biarkan anak anda menjadi mangsa apabila hafazan mereka terhenti di tengah jalan akibat masalah yang berpunca dari guru tersebut.
3. Sistem
Aspek penting seterusnya yang perlu di beri perhatian adalah sistem pengajian tahfiz yang baik. Sistem yang dimaksudkan adalah sistem tahfiz yang tersusun dan konsisten. Fenomena sekolah tahfiz masa kini kerap bertukar sistem serta menjadikan pelajar-pelajar mereka sebagai bahan eksperimen. Kami tetap bertegas mengatakan bahawa sistem paling baik dan terbaik adalah sistem tahfiz sepenuh masa. Walaupun madah lain seperti fardhu ain masih diperlukan, tetapi ianya hanya perlu diperuntukkan masa yang sedikit sahaja. Sistem-sistem tahfiz yang lain seperti bercampur akademik atau pun bercampur pondok rata-ratanya tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Dengan kata lain, kesannya adalah tidak menyeluruh. Walaupun ada yang mampu, tetapi ianya hanyalah sebahagian kecil sahaja. Justeru itu, pilihlah sekolah tahfiz yang benar-benar memberi penekanan dalam bidang tahfiz sekiranya anda mahu anak-anak anda berjaya menjadi al-hafiz.
4. Prasarana & Kondusif
Di antara aspek yang perlu diutamakan dalam memilih madrasah ialah dengan melihat dan menilai prasarana serta kondusif madrasah . Prasarana yang dimaksudkan bukanlah prasarana yang canggih, tetapi cukuplah sekadar selesa dan juga sesuai dalam bidang pengajian tahfiz . Dalam pada itu, madrasah yang kondusifnya baik ialah madrasah yang menitik beratkan aspek kebersihan dan kekemasan susunan dalam dan juga di sekitar madrasah. Madrasah yang menjaga dan menitik beratkan nilai kebersihan dan kekemasan biasanya mempunyai visi dan misi yang kuat untuk melahirkan pelajar hafiz Al Quran yang mempunyai sikap bertanggungjawab dan nilai tinggi dalam pengurusan diri.
5. TarbiyyahAkhir sekali, berilah keutamaan untuk memilih sekolah tahfiz yang mempunyai suasana mendidik atau tarbiyyah yang baik. Para pelajar dibiasakan berjubah, berserban, wajib solat berjemaah dan sebagainya. Ini adalah penting bagi menjadikan jiwa anak-anak anda terdidik serta lembut dan seterusnya memudahkan Al-Quran mendiami hati mereka. Sebaiknya, dalam masa 40 hari pertama mereka di madrasah jangan benarkan mereka pulang ke rumah. Biarkan mereka benar-benar sebati dengan keadaan madrasah terlebih dahulu. InsyaAllah mereka akan lebih mudah melalui proses-proses seterusnya.
Sumber: http://www.duai.my